Malaysia masih dalam proses perbincangan dengan syarikat Ocean Infinity yang menawarkan diri untuk meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman menerusi kenyataan hari ini.

Ia sekaligus menafikan dakwaan mengatakan persetujuan telah dicapai antara dua pihak tersebut sepertimana yang dilaporkan media antarabangsa.

Beliau memaklumkan, pihaknya menerima beberapa tawaran untuk mencari pesawat tersebut, termasuk Ocean Infinity, sebuah syarikat tinjauan dasar laut dari Amerika Syarikat yang menawarkan khidmat berasaskan ‘tidak jumpa, tiada bayaran’.

Jelas Azharuddin lagi, kerajaan Australia dan China juga telah dimaklumkan tentang perkara ini dan selepas persetujuan dengan syarikat tersebut dicapai, persetujuan daripada kedua-dua kerajaan itu juga diperlukan atas semangat kerjasama tiga negara dalam hal ini.

Seterusnya, ahli keluarga dan waris mangsa terlibat akan dimaklumkan menerusi satu pengumuman rasmi.

Pesawat malang itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, membawa 239 penumpang dan anak kapal.