Insiden pencemaran sungai sehingga menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dekat sini ditutup adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan amat dikesali, kata Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

Khamis lepas kedua-dua sekolah itu diarahkan tutup berikutan pencemaran udara ekoran pembuangan sisa kimia ke Sungai Kim Kim yang berhampiran oleh pihak tidak bertanggungjawab, dan ia dibuka semula pagi Selasa, selepas disahkan selamat, namun pada tengah harinya kejadian sama berulang.

Kira-kira lima jam selepas sesi sekolah bermula ramai pelajar dan guru dari dua sekolah berkenaan mengadu mengalami simptom seperti muntah, loya dan sakit kepala sehingga menyebabkan 61 orang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) sehingga pukul 5.30 petang.

Menurut Osman, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) membuat keputusan untuk membuka semula kedua-dua sekolah tersebut selepas membuat penilaian keselamatan dan mendapati keadaan udara di sekolah berkenaan selamat daripada sebarang unsur pencemaran bahan kimia minggu lepas.

"Bagaimanapun kejadian pagi tadi adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan amat dikesali," kata beliau dalam kenyataan di sini sebentar tadi, yang turut dimuatnaik dalam akaun Facebook rasmi beliau, di sini.


Sehubungan itu Osman meminta JPBBD memastikan sekolah-sekolah berhampiran sungai berkenaan ditutup sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat untuk para pelajar dan guru meneruskan sesi pembelajaran.

BACA: Jumlah mangsa pencemaran meningkat kepada 207

"Ketika ini, pihak Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang melakukan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan keadaan persekitaran dan kualiti udara selamat daripada sebarang bentuk pencemaran bahan kimia serta mengenalpasti punca pencemaran agar kejadian ini tidak berulang.

"Saya juga dimaklumkan bahawa tiga orang suspek terdiri daripada dua pemilik syarikat dan seorang pekerja yang dipercayai membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim telah ditahan oleh pihak berkuasa dan akan didakwa dalam masa terdekat," kata beliau.


Beliau berkata kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab membuang bahan kimia ke sungaisehingga mengakibatkan berlakunya pencemaran sisa kimia yang menjejaskan alam sekitar dan penduduk setempat.

-- BERNAMA