Pemilik syarikat tayar kitar semula, antara tiga suspek ditahan Isnin lepas, yang dipercayai membuang sisa toksik ke Sungai Kim Kim baru-baru ini, dijangka didakwa di mahkamah pada Khamis.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kertas siasatan telah pun siap dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada pagi Rabu untuk mendapatkan penilaian dan pertimbangan untuk mendakwa.

"(Dan) kita harap dapat dakwa (suspek) esok di mahkamah. Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjara maksimum lima tahun dan juga denda RM500,000 di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," kata beliau kepada pemberita di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Bee Yin juga memberitahu, beliau telah menghubungi Peguam Negara, Tommy Thomas mengenai kemungkinan mengenakan beberapa tuduhan terhadap suspek memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan hukuman setakat ini tidak mencukupi.

"Memandangkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah siap siasatan, kita akan dakwa dahulu tetapi ia tidak dihadkan kepada undang-undang ini sahaja, dia boleh didakwa di atas Kanun Keseksaan dan mungkin akta-akta lain," kata Bee Yin lagi.