Dewan Rakyat mula membahaskan usul tergempar mengenai bencana pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Johor kira-kira jam 4.30 petang, hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof membenarkan usul dikemukakan oleh anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim setelah ia memenuhi semua kriteria di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) iaitu merupakan perkara-perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan harus disegerakan.

Dalam usul tersebut, Hassan (PH) menegaskan bahawa pengisytiharaan darurat bencana perlu dilakukan sekiranya keadaan di kawasan Pasir Gudang berada dalam situasi tidak terkawal.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana darurat bencana tidak melibatkan semua negeri sebaliknya hanya di kawasan yang terlibat sahaja dan ia perlu dilakukan bagi memastikan semua aset di peringkat nasional dan negeri digerakkan untuk menanggani krisis tersebut.