Proses pembersihan bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor sedang giat dijalankan sehingga kini oleh jabatan peneraju seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sebagainya.

Menurut Perunding Kesihatan dan Keselamatan, Mohd Soffian Osman, prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan sebelum proses pembersihan dijalankan wajar mendapat pujian, namun masih ada ruang untuk ditambah baik.

Menurut Sofian, pihak JBPM bertindak dengan mengambil indeks gas kimia di kawasan tersebut terlebih dahulu sebelum membenarkan pihak berkepentingan melakukan proses pembersihan.

“Saya difahamkan, setiap satu jam akan ada anggota bomba yang pergi ke kawasan tersebut untuk melakukan pemantauan.

"Malahan pekerja-pekerja Petronas yang diletakkan (di lokasi itu) juga melakukan pemantauan secara berterusan dengan meletakkan Continuous Air Monitoring Device di kawasan strategik bagi memantau secara langsung perkembangan gas-gas yang mungkin terhasil di kawasan yang disyaki tercemar ini.


“Bukan sahaja anggota bomba dan penyelamat, saya juga difahamkan pihak Petronas dan Jabatan Alam Sekitar turut melakukan pemantauan di tempat tersebut bagi mewujudkan kawalan dan prosedur yang ditetapkan.

“Kalau kita lihat, bendera merah itu menunjukkan salah satu tanda bahawa kawasan itu berada di tahap konsentrasi bahan tercemar yang tinggi,” kata Sofian.

Tambahnya lagi, keseluruhan proses berkenaan berada dalam keadaan terkawal dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Proses kawalan yang telah dilakukan ialah meletakkan pita penghadang (barricade tape) di kawasan pembersihan bagi menghalang orang ramai daripada masuk ke kawasan tersebut. Tetapi proses kawalan tersebut boleh ditambah baik seperti meletakkan papan-papan tanda dan menambah laluan alternatif lain.

"Selain itu, kita juga boleh memberi penerangan kepada masyarakat dengan menyebarkan risalah berkaitan tragedi serta maklumat tentang cara mengelakkan diri daripada terkena sisa kimia tersebut,” kata Sofian.

Beliau turut mencadangkan satu saluran rasmi diwujudkan bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat berkaitan indeks pencemaran gas-gas kimia yang berlaku di kawasan tersebut.

“Saluran rasmi seperti di laman Facebook perlu ada. Ini membolehkan orang awam atau pengusaha-pengusaha industri untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan tahap pencemaran seperti yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar semasa berlakunya jerebu.

“Kita perlu berterima kasih kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dilantik selaku badan pakar penasihat jawatankuasa bencana yang turut membangunkan satu sistem bacaan gas di sekitar kawasan operasi dan kita berharap perkara ini dapat direalisasikan segera,” kata Sofian.

Jelasnya, alternatif itu penting bagi mengawal dan membanteras kewujudan maklumat yang tidak sahih supaya tidak berlakunya kerisauan penduduk.