Kerajaan akan mengambil langkah penyelesaian jangka panjang dengan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sedia ada.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata pihaknya kini dalam proses meminda dan mensasarkan pembentangan mengenai pindaan akta itu akan dibuat di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

Katanya pindaan itu juga akan mengambil kira tempoh dan jumlah hukuman lebih berat yang akan dikenakan terhadap pelaku yang tidak bertanggungjawab.

“Saya rasa perlu ada hukuman yang lebih berat dikenakan mengikut skala kejadian pencemaran bahan kimia tersebut.”

“Apa yang kita dapati sekarang adalah di dalam akta itu hukuman yang melibatkan pengurusan sisa berjadual tidak berubah dan masih sama, hanya dengan lima tahun penjara dan denda tidak melebihi RM500,000.

“Buat masa sekarang, kajian dan perbincangan bersama pihak berkepentingan akan dilaksanakan untuk meningkatkan hukuman yang dikenakan bagi mereka yang mencemarkan alam sekitar,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media pembentangan laporan kes pembuangan haram sisa kimia Sungai Kim Kim di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.

Tegas Yeo Bee Yin selain pindaan akta, penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar juga akan dipertingkatkan.

Dalam pada itu, hasil data satelit, sebanyak 46 lokasi baharu dikesan berpotensi berlakunya pencemaran di Zon Perindustrian Pasir Gudang.

46 lokasi itu terdiri daripada pusat pelupusan sampah domestik dan pusat pembuangan sisa berjadual.

Kesemua lokasi itu akan menjalani proses pembersihan yang dikendalikan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Senarai lokasi itu akan diberikan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.