Kerajaan negeri Selangor telah membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud unsur sabotaj yang berlaku dalam kes pencemaran Sungai Semenyih baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata pihaknya di bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah membuat laporan berkenaan kepada pihak berkuasa semalam.

"LUAS telah membuat laporan polis semalam sebab semua insiden ini berlaku di luar Selangor. Semalam di Nilai, sebelum ini di Semantan, Pahang."

"Jadi LUAS telah mengambil insiatif untuk membuat laporan polis dan kita biar polis siasat. Kami mahu pelaku pencemaran ini dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mencabar Azmin agar membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud unsur sabotaj dalam kes pencemaran Sungai Semenyih sehingga menyebabkan loji rawatan ditutup buat kali ketujuh dalam tempoh setahun.

Loji rawatan air Sungai Semenyih terpaksa ditutup sekali lagi semalam berikutan berlaku pencemaran bau air sungai berkenaan disyaki berpunca dari kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.

Susulan penutupan loji rawatan air itu, beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sementara sejak 7.30 pagi semalam.

Azmin sebelum ini menunding jari mengaitkan pencemaran sungai berkenaan dengan unsur sabotaj yang didakwa didalangi Barisan Nasional (BN) dan Umno.