Pendaftaran Familia Myvi Club (FMC) hanya akan dibatalkan jika didapati siasatan polis mendapati ia terbabit secara langsung dalam insiden kemalangan di Lebuih Raya Duta-Ulu Klang (DUKE), lapor Sinar Harian.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Datuk Mohamad Razin Abdullah dilaporkan berkata, kelab permotoran berdaftar yang melanggar undang-undang boleh menyebabkan pendaftarannya dibatalkan.

Namun, beliau menjelaskan, jika aktiviti seperti lumba haram dilakukan oleh ahli tanpa pembabitan kelab, maka ia bukan tanggungjawab kelab, sebaliknya individu berkenaan yang perlu dipersalahkan.

WAWANCARA KHAS: Saksi terawal ceritakan detik cemas kemalangan DUKE

FAMILIA MYVI CLUB: 'Kami beri kerjasama, sokong pemandu Myvi bersalah dihukum' - Wakil FMC

TEGAS: Ini soal nyawa, 'orang dalam' pun akan diambil tindakan - Zahid Hamidi

KELUHAN: "Tangkap orang yang langgar ayah saya", luah Nur Firuza Amira kepada Zahid

"Semua kelab atau pertubuhan yang diluluskan oleh ROS perlu melalui pemeriksaan ketat dengan kami akan menyemak permohonan termasuk perlembagaan dan matlamat penubuhan sesebuah kelab.

"Jika dapati permohonan menyalahi undang-undang atau boleh menggugat ketenteraman awam, maka ia tidak akan diluluskan oleh ROS," Mohamad Razin dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Beliau mengulas kejadian kemalangan di Lebuh Raya DUKE yang mengakibatkan tiga sekeluarga termasuk seorang bayi tujuh bulan maut setelah kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport yang dinaiki mereka berlanggar dengan dua buah Perodua Myvi sebelum terbalik.

Semakan di laman web ROS mendapati ada 20 kelab MyVi berdaftar dan FMC adalah satu daripadanya dengan status penubuhannya adalah baharu.

Jelas Mohamad Razin, tindakan boleh diambil jika ada bukti mengaitkan persatuan atau kelab dengan aktiviti yang membahayakan keselamatan orang awam.

"JIka dilakukan oleh individu, maka tidak adil persatuan dikenakan tindakan kerana ia bukan salah mereka. Sama seperti kes FMC, kami akan tunggu hasil siasatan polis sebelum tindakan dilakukan," katanya.