James Lee Chong Meng, pendaki tertua Malaysia yang cuba menawan puncak Gunung Everest, tiba di puncak Lobuche East pada ketinggian 6,119 meter dari aras laut pagi semalam.

Pendaki berusia 69 tahun itu berkata beliau dan dua sherpa, Ngaa Tenji dan Pasang Sherpa tiba di puncak Lobuche East dari Lobuche High Camp kira-kira 10.30 pagi (waktu tempatan Nepal).

"Kami telah tiba di puncak Lobuche East dan pemandangan di sini sangat indah," katanya menerusi rakaman video yang dihantar kepada Bernama di sini hari ini.

Difahamkan, mereka akan kembali ke kem pangkalan Everest (EBC) untuk berehat sebelum menumpukan pendakiannya ke puncak Gunung Everest pada Mei depan.

Selasa lepas, lima pendaki Lions Club of Port Dickson Pantai yang mengiringi Lee sehingga ke EBC, kembali ke tanah air.

Pasukan itu bersama Lee berlepas ke Kathmandu pada 1 April lepas.

Bernama adalah rakan media bagi misi Lee untuk menawan puncak tertinggi dunia itu yang turut mendapat sokongan kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri Sembilan serta beberapa penaja lain.

Pada ekspedisi pertama Mei tahun lepas, Lee terpaksa membatalkan peringkat akhir pendakiannya ke puncak Gunung Everest setelah tiba di Camp III pada ketinggian 7,200m kerana cuaca buruk.

Gunung Everest adalah setinggi 8,848m. -- BERNAMA