Seorang pendaki lelaki warga emas yang sebelum ini dikatakan warganegara Taiwan dan dilaporkan hilang ketika sedang melakukan aktiviti ‘jungle tracking’ di Telok Asam , Taman Negara Bako di sini semalam, ditemui selamat.

Warga emas yang dkenali sebagai Shein Chi Ching, 70, dari negara China itu dilaporkan selamat selepas komander operasi mencari melaporkan warga emas terbabit telah balik sendiri ke bilik penginapannya pada jam 7.30 pagi tadi.

Dia kemudiannya ditemui berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi hari ini melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bako, anggota Balai Polis Gita dan renjer Taman Negara Bako sendiri.

Semalam, anggota mencari dan menyelamat terbabit dikerahkan ke lokasi selepas pengadu bersama dua lagi rakannya melaporkan warga emas terbabit hilang ketika mereka sedang menjalankan aktiviti 'jungle tracking'.

Lelaki itu dipercayai terpisah daripada kumpulan tesebut dan kehilangannya hanya disedari pada jam 2 petang.

Kedua-dua rakan mangsa selamat tiba di lokasi permulaan dan membuat laporan kehilangan mangsa kepada pihak renjer Taman Negara Bako.