Kompleks Mahkamah Rendah Ipoh hari ini menyaksikan suatu kelainan hari ini apabila dipenuhi dengan anggota keselamatan, pengamal media serta orang awam yang memenuhi perkarangan bagi proses pendakwaan 36 anggota kongsi Gelap Geng 04 pagi tadi.

Sejak awal pagi lagi bangunan mahkamah menjadi tumpuan berikutan berita mengenai 36 anggota kumpulan ini yang merupakan dalang kepada banyak kes jenayah terancang di negara ini bakal dibawa untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan atau lebih dikenali dengan SOSMA.

Pihak polis telah membuat kawalan keselamatan yang amat ketat disebabkan ahli kumpulan kongsi gelap ini terbabit dalam kes jenayah berat.

Malah laluan ke mahkamah Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab ditutup sementara bagi memberi laluan kepada dua kenderaan black maria yang membawa tertuduh diiringi lapan kenderaan polis yang lain.

Dengan kehadiran 104 anggota berserta 11 pegawai polis, pendakwaan dilakukan secara tertutup di Mahkamah Sesyen

Kesemua tertuduh berusia di antara 20 hingga 60 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang membawa kepada hukuman penjara selama 20 tahun jika disabitkan bersalah.

Dalam pada itu, pengamal media yang membuat liputan tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik pendakwaan dan tidak dijelaskan secara terperinci sebab utama arahan sedemikian dikeluarkan.

Difahamkan, pertuduhan ke atas kesemua 36 ahli berkenaan telah dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Tamil.

Tiada sebarang rayuan direkodkan manakala 16 daripada tertuduh diwakili oleh peguam dan baki 20 ahli pula tidak diwakili peguam.

Pendakwaan pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Mohd Izharuddin Alias.

Hakim Mahkamah Syesen Murtazadi Amran tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan menetapkan 20 Mac depan bagi tarikh sebutan semula kes.