Pendebat Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Haziq Jamaludin dinobatkan sebagai juara pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Jumaat.

Penuntut jurusan undang-undang berusia 24 tahun itu mewakili Malaysia dalam kategori Alam Melayu dan menyampaikan pidato bertajuk 'Rahsia Keamanan'.

Seorang lagi wakil negara, Irfan Mohamad Fairus dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memenangi tempat kedua dan wakil Thailand Muhammad Sama’e menduduki tempat ketiga.

Haziq (kiri) meraikan kejayaan bersama ibunya, Azila Shaari dan adiknya Hadif - Foto AWANI

Selain kategori Alam Melayu untuk penutur asal bahasa Melayu, PABM turut mempertandingkan kategori Pelajar Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia.

Wakil Jepun, Hatsune Yanai mengungguli kategori Pelajar Antarabangsa diikuti oleh Wang Jialu (China) di tempat kedua dan Megan Rose Donnelly (Amerika Syarikat).

Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia pula dimenangi Abdalla Hassan Gharib dari Tanzania yang mewakili Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi Nasear Slayman (Kemboja) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Anas Mohamad Husain (Iraq) yang mewakili Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Para pemenang menerima hadiah yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Johan bagi setiap kategori meraih hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil. Bagi naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM12,000 dan RM8,000 beserta piala iringan, hadiah iringan dan sijil.

Kerajaan akan terus pertahan Bahasa Melayu

Sementara itu, Najib dalam ucapannya menyatakan komitmen kerajaan untuk terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara walaupun bahasa Inggeris dan beberapa bahasa lain dibenarkan dalam sistem pendidikan arus perdana.

Menurutnya, usaha memperkasakan bahasa Melayu memerlukan perancangan teliti dan mengambil masa yang lama.

Najib turut menyeru Kementerian Pengajian Tinggi dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan institusi antarabangsa dalam menyebarkan pengetahuan mengenai ketamadunan Melayu dan mempromosi bahasa Melayu.