Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pendekatan holistik perlu untuk tangani masalah air - Lee Lam Thye

Pendekatan holistik perlu untuk tangani masalah air - Lee Lam Thye
Gangguan bekalan air yang bukan sahaja menyukarkan kehidupan orang ramai tetapi juga menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada perniagaan dan industri. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pendekatan holistik perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi menangani masalah gangguan bekalan air yang bukan sahaja menyukarkan kehidupan orang ramai tetapi juga menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada perniagaan dan industri.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataannya berkata kerajaan perlu menangani isu margin rizab air terawat rendah yang diketengahkan oleh Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia.
"Margin rizab adalah kapasiti tambahan yang boleh diagihkan selepas memenuhi permintaan semasa dan ia akan membolehkan loji rawatan memenuhi permintaan mendadak bekalan air atau kekurangan air yang tidak dijangka.

"Pakar telah mencadangkan dua cara untuk menyelesaikan margin rizab yang rendah iaitu membina loji rawatan air baharu dan mengurangkan kehilangan air bukan hasil dengan menggantikan saluran paip lama yang terdedah kepada kebocoran," katanya dalam kenyataan itu pada Selasa.
Lee juga mahu tindakan tegas diambil terhadap mereka yang mencemarkan sumber air termasuk yang membuang sisa buangan secara haram ke dalam lurang seperti kejadian pada Sabtu baru-baru ini

Lee berkata terdapat keperluan untuk mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi menjadikannya sebagai langkah menghalang terutamanya Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Beberapa pihak mendakwa Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 gagal menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab daripada membuang sisa ke dalam loji rawatan kumbahan kerana mereka merasakan kos penghantaran sisa mereka untuk loji rawatan yang sepatutnya lebih tinggi daripada hukuman.

"Kerajaan juga harus mempercepatkan pembentangan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang akan mengenakan denda lebih tinggi dan hukuman lebih berat di samping memberi kuasa penguatkuasaan yang lebih besar untuk Jabatan Alam Sekitar," katanya.

--BERNAMA