Lebih 50 penduduk di Taman Sri Ukay, Bukit Antarabangsa di Ampang hari ini menyatakan bantahan terhadap pembinaan sebuah kondominium berhampiran Highland Towers.

Bantahan bermula di sebuah restoran sebelum mereka berarak menuju sebuah tempat menunggu bas berhampiran lebuhraya.

Kumpulan terbabit turut sama membawa sepanduk yang antara lain menyatakan kebimbangan mereka melihat tragedi Highland Towers berulang dan meminta projek dihentikan

Pembinaan dikatakan membahayakan nyawa kerana dibuat di atas tapak yang berkemungkinan bolehmenyebabkan tanah runtuh.

Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Penduduk, Lee Joo Khim berkata penduduk mahu kerajaan konsisten dalam pendirian mereka, telus dan bertanggungjawab dalam memastikan pembangunan yang selamat.

Bantahan juga ditujukan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang diharap dapat memberikan maklumat secukupnya kepada penduduk.

Dalam pada itu ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungip berkata pihaknya akan membangkitkan masalah itu di Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor 19 November ini.

Dalam tragedi Highland Towers 1993, 48 orang maut apabila sebuah kondominium runtuh akibat tanah runtuh.