Tutup

Penduduk dakwa terhidu bau tengik sejak petang Rabu

Penduduk dakwa terhidu bau tengik sejak petang Rabu
Petugas keselamatan memeriksa sebahagian murid mangsa pencemaran udara yang mendapatkan rawatan di Sekolah Agama Taman Mawar. -Bernama
PASIR GUDANG: Penduduk di sekitar Taman Mawar mengakui ada menghidu bau seperti gas yang sangat kuat sejak petang semalam sehingga tengah hari Khamis.

Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Taman Mawar, Mohd Hashim Marsidi berkata beliau menerima aduan tersebut daripada guru dan penduduk setempat.

"Cikgu dengan penduduk ada mengadu hidu bau kuat dari petang semalam dalam jam 4 petang sampai tengah hari tadi.

"Saya sendiri pun ada hidu bau macam gas memasak tapi kuat baunya, tengik. Tekak pun lain macam rasa," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Surau Al Falah di sini, pada Khamis.
Menurutnya, pihak berkuasa dihubungi selepas perbincangan dengan pihak sekolah ekoran bimbang dengan keadaan semua murid.

"Apabila pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) tiba di sekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari, bau tersebut hilang. Dalam jam 2 petang, guru besar sekolah maklumkan pada saya ada pelajar rebah.
"Saya hubungi talian kecemasan 999 dan sementara tunggu bantuan sampai, beberapa orang lagi pelajar rebah dan saya dapat rasa keadaan memang serius," katanya.

Mohd Hashim bekata, beliau tidak menolak kemungkinan pencemaran udara berpunca daripada kilang yang beroperasi berhampiran kawasan sekolah itu.

"Sebelum ini tak pernah ada bau tengik macam semalam. Ini kali pertama saya hidu bau tengik yang kuat sepanjang duduk sini.

"Kita tak nak tuduh tapi di kawasan sini ada dua kilang besar yang jaraknya kurang 2 kilometer dari sini," katanya.

Sebelum ini, 13 murid dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dan dua wanita dilapor dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas menunjukkan simptom muntah, loya dan pitam.