Penduduk gempar, 13 hektar hutan paya gambut terbakar

Penduduk gempar, 13 hektar hutan paya gambut terbakar
Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kawasan hutan yang terbakar itu adalah tanah persendirian. Foto Ihsan Pembaca
KUANTAN: Penduduk di sekitar kawasan Taman Indera Sempurna di sini gempar apabila hutan paya gambut yang berdekatan kawasan perumahan mereka terbakar dalam kejadian malam tadi.

Kejadian yang bermula jam 7.30 malam itu melibatkan kawasan hutan paya gambut seluas kira-kira 13 hektar, malah menyaksikan api menjulang tinggi.

Menurut Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.38 malam sebelum jentera pertama tiba 10 minit kemudian.

"Pihak bomba dengan kekuatan 11 pegawai dan anggota bersama tiga jentera berjaya mengawal kebakaran selepas lima jam operasi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawasan hutan itu adalah tanah persendirian dan punca sebenar kebakaran masih lagi disiasat.

"Pemantauan di lokasi hutan berkenaan diteruskan lagi hari ini bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kembali kebakaran," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sani menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini hingga boleh menyebabkan pencemaran udara.
  
"Penduduk di kawasan berdekatan dinasihatkan memakai topeng muka serta mengurangkan aktiviti luar rumah demi memastikan kesihatan tidak terganggu," katanya.