Aktiviti harian penduduk di sekitar Kampung Indarason Laut, di Kudat, Sabah, dikejutkan dengan kehadiran ikan paus seberat 2.2 tan yang terdampar di tepi pantai kampung berkenaan.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kudat, Norman Bigol, kehadiran ikan paus jenis Bryde Whale dengan panjang 4.5 meter dan 1.2 meter besar itu disedari penduduk kampung seawal kira-kira jam 5.00 pagi tadi.

"APM telah menerima panggilan dari Pusat Kawalan Operasi Kota Kinabalu berhubung kejadian itu pada jam 5.05 pagi tadi dan sejurus selepas menerima panggilan, Pusat Kawalan Operasi Daerah Kudat terus bergerak ke lokasi.

"Setibanya di lokasi kejadian, anggota APM serta beberapa agensi lain yang turut berada di lokasi kejadian bersama orang kampung telah menyiram air laut pada ikan paus berkenaan dan seterusnya bersama-sama memindahkan ikan paus itu ke laut," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Operasi yang turut melibatkan pihak Polis, Taman-taman Sabah, Jabatan Perikanan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Warden Hidupan Liar itu tamat pada jam 10.08 pagi.