Penduduk kampung dikejutkan dengan kelahiran anak kambing bermata satu

Penduduk kampung dikejutkan dengan kelahiran anak kambing bermata satu
Tuah Jabang, anak kambing yang dilahirkan bermata satu. - Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI
BEAUFORT: Penduduk di Kampung Jabang di sini dikejutkan dengan penemuan anak kambing jantan yang dilahirkan bermata satu, hari ini.

Menurut pemiliknya, Awang Rosli Mat Taib, 37 tahun, kelahiran kambing yang diberi nama Tuah Jabang itu disedari pada jam 8 malam Jumaat lalu.

Katanya, ketika itu, dia terdengar bunyi nafas yang kuat dari salah seekor haiwan ternakan di kandang kambing yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah.

Keganjilan anak kambing dipercayai menghidap sindrom Cyclopia itu akhirnya terungkai pagi ini apabila adik iparnya yang sedang memberi makan di kandang berkenaan menemui Tuah Jabang dalam keadaan lemah.
"Kami dikejutkan dengan kehadiran haiwan istimewa itu di mana salah seekor anak kambing jantan berkenaan dipercayai hanya bermata satu. Saya kemudiannya meluru membuat pemeriksaan, lalu ia ternyata benar.

"Keadaan anak kambing ini sedikit lemah memandangkan mulutnya kecil dan terpaksa meminum susu dengan menggunakan picagari sahaja," katanya ketika ditemui di kampung itu.

Menurut Awang Rosli, dia akan membawa anak kambing berkenaan ke Jabatan Haiwan berdekatan untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenalpasti tahap kesihatan haiwan itu.

Difahamkan, ini merupakan kes kali ketiga berlaku, di mana kambing bermata satu atau yang mengalami 'Cyclopia' ini, dilahirkan.

Kes serupa pernah dilaporkan di Gua Musang, Kelantan pada 2016 dan di Assam, India pada pertengahan Mei tahun lalu.

Kedua-dua haiwan berkenaan dilaporkan mati selepas beberapa minggu dilahirkan.