Penduduk kawasan Jinjang Selatan Tambahan hari ini menyuarakan kekesalan terhadap sikap Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang didakwa tidak mengambil berat isu berkaitan perumahan yang membelenggu penduduk sejak tiga tahun lalu.

Wakil penduduk di situ mendakwa, Lim tidak pernah hadir untuk bertemu penduduk, biarpun sudah beberapa kali dimaklumkan berkenaan permasalahan yang dihadapi.

Penduduk kawasan itu juga kini berdepan risiko diusir dari kediaman mereka tanpa diberikan rumah ganti, seperti yang telah dijanjikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Semalam jawatankuasa penduduk ada berjumpa YB Lim meminta tolong soal pampasan, banci dan shoplot (rumah kedai). Namun kesemua permintaan kami ditolak mentah-mentah. Beliau beritahu kami supaya ikut dan dengar sahaja arahan pemaju.

"Tiada sebarang janji yang dibuat oleh YB Lim, kami agak kecewa. Kami ada minta beliau datang dan berjumpa penduduk, tetapi beliau tidak mahu berjumpa langsung dengan penduduk.

"Beliau kata tiada sebab dan tidak perlu berjumpa dengan penduduk kerana tiada masalah," kata wakil penduduk yang juga Setiausaha Jawatankuasa Penyelesaian Perumahan Tetap, Ameer Khan Bargath Alli.

Januari lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pernah menjanjikan projek pembinaan rumah baharu akan dimulakan dalam tempoh dua bulan, namun sehingga kini ia belum menampakkan sebarang perkembangan.

"Dua minggu lepas kami telah menghantar satu memorandum agar Datuk Bandar dapat mendesak DBKL menyegerakan pembinaan rumah tersebut.

"Sehingga hari ini tiada sebarang pembinaan atau desakan ke atas pemaju untuk membina rumah gantian dahulu sebelum mengusir kami, lebih kurang 400 penduduk," tambah Ameer.

Sejumlah 525 buah rumah akan dirobohkan untuk tujuan pembangunan oleh DBKL, dan penduduk generasi pertama dijanjikan dengan bayaran ex-gratia sebanyak RM1,000, sebuah unit rumah kos rendah berkeluasan 900 kaki persegi dan elaun bulanan RM700 sehingga rumah baharu siap.

BACA: Pembinaan unit rumah ganti akan bermula minggu ini - Ahli Parlimen Kepong

Sementara itu, Lim ketika dihubungi, menfaikan beliau tidak mengambil berat isu perumahan yang dihadapi penduduk Jinjang Selatan Tambahan itu.

Sebaliknya, kata beliau, satu dialog sudah diadakan dengan kira-kira 20 wakil penduduk kawasan berkenaan pada Sabtu, dan kesemua mereka telah diberi peluang bertanya pelbagai soalan kepada pemaju dan diberi maklum balas berkaitan.