PENDUDUK Kuantan mengeluh dengan pencemaran bauksit di sekitar kawasan Bukit Goh, Gebeng, dan Pelabuhan Kuantan yang boleh menyebabkan risiko kesihatan dan kemalangan jalan raya.

Facebook Astro AWANI menerima pelbagai maklumat dan gambar mengenai isu ini yang rata-ratanya meluahkan ketidakpuasan hati terutama sekali mengenai aktiviti lori yang keluar masuk dari kawasan perlombongan bauksit.

Shahizam Hussein berkata masalah bermula pada pertengahan tahun 2014.

Bauksit
Sungai turut tercemar akibat aktiviti perlombongan bauksit. Gambar: Facebook/Kiriman Hanapi Jusoh

“Urusan membawa keluar bauksit telah menyebabkan jalan utama kotor, membahayakan kepada orang ramai dan telah banyak kali mengakibatkan kemalangan malah terdapat juga kemalangan maut.

“Kegiatan perlombongan bauksit yang tidak terkawal telah mengganggu rutin harian penduduk setempat kerana urusan logistik menggunakan laluan penduduk untuk ke bandar Kuantan," katanya.

Bauksit
Penduduk tempatan berkata masalah bermula pada pertengahan tahun 2014 sehingga kini. -Gambar: Facebook/Kiriman Mohd Noor

Tambah pengguna Facebook yang menggunakan nama Apih Pokcu, beliau berkata jalan di Bukit Goh, jalan bypass Balok ke Gebeng sangat kotor dan boleh menyebabkan kemalangan oleh pemandu lori yang membawa muatan lebih hampir setiap hari.

“Penduduk di kawasan sekitar pelabuhan terpaksa menanggung kesan debu dari bauksit yang tumpah sekitar jalan dan seperti tiada pemantauan yang baik dari pihak syarikat dan pihak berwajib,” katanya.

Bauksit
Jalan raya di sekitar Kuantan kotor akibat muatan bauksit yang terkeluar dari lori-lori. -Gambar: Facebook/Kiriman Mohd Noor

Mohd Noor berkata warga Kuantan cukup sengsara dengan kesan perlombongan bauksit di Kuantan.

“Kami juga risau akan musim tengkujuh yang mendatang dan ia akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Tambah Amin Evva, “Jalan raya rosak dan kotor, sungai tercemar, lori-lori bauksit yang bertindak ganas kerana hendak mengejar perjalanan sekaligus membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Ia juga mengganggu kententeraman awam dengan berderetan lori-lori bauksit yang memakir di kawasan perumahan dan taman,".

Bauksit
Urusan membawa keluar bauksit banyak kali mengakibatkan kemalangan malah terdapat juga kemalangan maut. -Gambar: Facebook/Kiriman Shahizam Hussein

Seorang pengguna Facebook Nico Scania menghantar kiriman video yang menunjukkan situasi di Kuantan.

Dalam video berkenaan, beliau meluahkan ketidakpuasan hati ketika ingin mengambil anak dari sekolah pada jam 12 lebih tengah hari yang harus mengharungi kesesakan oleh kerana banyak lori di sebelah kanan dan kiri jalan raya.

Bauksit
Penduduk tempatan meraya agar pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu agar masalah ini tidak berterusan. Gambar: Facebook/Kiriman Juzilan Abdullah

“Sudah berbulan-bulan mereka buat kerja, hari ini saya paling sakit hati. Tolong tengok keadaan kami macamana sekarang,” katanya dalam video pendek itu.

Beliau menyeru pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri Pahang untuk membantu penduduk tempatan.

Bauksit
Penduduk tempatan sudah tidak tahan dengan jalan raya yang kotor dan jumlah lori yang banyak. Gambar: Facebook/Kiriman Hanapi Jusof