Penduduk Ladang Gajah Mati risau terlihat kelibat sepasang gajah

Penduduk Ladang Gajah Mati risau terlihat kelibat sepasang gajah
Kelibat dua ekor gajah yang sempat dirakamkan. - Astro AWANI
DUNGUN: Penduduk di sekitar Ladang Gajah Mati, Dungun, Terengganu digemparkan dengan kelibat dua ekor gajah berhampiran Bandar Bukit Besi.

Gajah yang dipercayai jantan dan betina ditemui berkeliaran di Jalan Jerangau-Jabor, Dungun kira kira  jam tujuh pagi pada Selasa.

Sejurus menyedari kehadiran manusia, gajah dewasa itu memasuki ladang kelapa sawit berhampiran.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Terengganu , Lt. Kol (PA) Che Adam A. Rahman berkata pasangan gajah itu dipercayai turun dari habitat asalnya di Hutan Simpan Besul untuk mencari makanan.

Menurut beliau, kejadian berkenaan adalah kes terpencil.

“Kita nasihatkan supaya orang awam jangan mengapa-apakan (haiwan) jika terlihat sama ada gajah, harimau, tapir dan sebagainya.

“Sebab kita khuatir kemungkinan haiwan-haiwan berkenaan keluar daripada habitat mereka di kawasan hutan simpan berkenaan untuk mencari makan.

“Jadi seboleh-bolehnya dari aspek kesiapsiagaan dan keselamatan supaya jangan kita mengacau ataupun membuatkan sesuatu yang tidak sepatutnya terhadap haiwan berkenaan,” ujar Che Adam.

Justeru orang ramai diminta supaya berhati-hati dan tidak mengambil tindakan melulu jika terserempak haiwan berkenaan.