Sebuah tasik di Taman Pinggiran Delima di sini yang dahulunya jernih bertukar kehitaman dan berminyak serta mengeluarkan bau yang amat busuk.

Penduduk mendakwa, bau busuk yang menjijikkan tersebut berpunca daripada tapak pembuangan sampah haram yang telah beroperasi sejak dua tahun lalu.

Hasil tinjauan Astro AWANI, bau busuk itu sudah boleh dihidu walaupun seseorang masih berada di dalam kereta dan berjarak 200 meter daripada tempat kejadian.

Di permukaan tasik itu juga, kelihatan ikan sudahpun mati akibat pencemaran.

Bau busuk dan menjijikkan ini boleh dihidu hingga daripada dalam rumah.

“Memang ramai orang membuat aduan, bukan sahaja di taman ini malah di taman yang jauh daripada Tasik Taman Pinggiran Delima,” kata Pengerusi KRT Taman Pinggiran Delima, Zaharah Mohd.

Jelasnya, bau ini bukan hanya dihidu daripada luar rumah malah di dalam rumah lebih-lebih lagi ketika waktu hujan.

Setiausaha Taman Pinggiran Delima, Syahrizul Razl memberitahu, aduan telah disampaikan kepada beberapa pihak antaranya kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Jabatan Alam Sekitar, dan Pejabat Tanah Hulu Langat.

Setakat ini, hanya pihak MPKJ dan Adun Dusun Tua, Y.B Tuan Razaly Hassan yang meninjau tempat tersebut dan peringkat awal merawat air tasik telah dijalankan.

Mahupun begitu, bau busuk masih lagi kuat dan kerja-kerja menimbus sampah dengan tanah giat dijalankan oleh pihak yang berada di tapak tersebut.

Menurut seorang guru yang tinggal dikawasan berdekatan, Idris Ahmad Sauf menjelaskan, bau busuk itu berpunca daripada tapak pelupusan sampah yang dipercayai haram.

Penduduk memberitahu, bau busuk berkenaan telah bermula sejak enam bulan lepas dan mereka berharap tindakan tegas segera diambil pihak berwajib.

Mereka turut hairan, bagaimana kawasan yang telah digazetkan haram menjadi tapak pelupusan sampah, boleh beroperasi dalam tempoh yang lama.