Kaedah belian tanpa tunai dijangka akan diperluaskan ke seluruh negara, termasuk di kampung dan kawasan pedalaman di luar bandar mulai tahun depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kaedah yang dikenali sebagai sistem e-wallet itu ialah bagi perkhidmatan pembayaran bil dan sebagainya.

“Kementerian ketika ini sedang dalam perundingan dengan beberapa syarikat swasta untuk memperkenalkan sistem tanpa tunai ke kawasan-kawasan ini.

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Smart Village yang kami harap dapat dilancarkan pada Julai ini," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Bazar Ramadan Touch N Go Kashless Kampung Baru hari ini.

Pada masa sama, Rina berkata, Program Desa Harapan, satu daripada inisiatif kementerian dalam usaha mengeluarkan masyarakat luar bandar dari kepompong kemiskinan, akan dilancarkan di Baling, Kedah, pada bulan depan.

Katanya, pelancaran itu adalah yang kedua selepas Kampung Kinjang di Chenderiang, Perak, kedua-duanya adalah antara 28 daerah miskin di negara ini.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu berkata, Program Desa Harapan adalah sebahagian daripada inisiatif Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dilancarkan kementerian itu tahun lalu bagi pembangunan jangka pendek ke arah luar bandar lebih sejahtera.

"Melalui Program Desa Harapan ini, fokus kita adalah untuk merapatkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin, begitu juga penduduk di bandar dan luar bandar," katanya.

Kata Rina, matlamat program ini adalah untuk membolehkan usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian dan memberi faedah kepada masyarakat dan belia luar bandar secara langsung.

BACA: Bazar Ramadan 'Kashless' pertama di Malaysia

Sementara itu, pengunjung ke Bazar Ramadan di Kampung Baru itu kini boleh menggunakan Touch 'N Go e-wallet untuk membuat pembayaran dengan hanya mengimbas kod QR pedagang.

Perkhidmatan ini setakat ini boleh didapati di sekitar 400 gerai di bazar itu.

Rina berkata, perkhidmatan tersebut diharap akan diperkenalkan kepada bazar lain tahun depan.