Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Penduduk PPR resah jika tempoh PKP dilanjut

Penduduk PPR resah jika tempoh PKP dilanjut
Rata-rata penduduk PPR menzahirkan keresahan berikutan perintah kawalan itu lebih-lebih peniaga kecil dan penjaja. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa sejak 18 Mac lalu nyata memberi tekanan buat penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di Lembah Pantai, di sini.

Mereka menzahirkan keresahan berikutan perintah kawalan itu lebih-lebih peniaga kecil dan penjaja.

Menurut Nor Waheda Abudollah, 41 tahun, dia sekeluarga tidak mampu menjana pendapatan kerana perniagaan nasi lemak yang diusahakan sejak lapan tahun lalu, terpaksa ditutup.

"Kami sekeluarga memang bergantung sepenuhnya kepada perniagaan ini dan apabila perintah ini dilaksanakan, kami tidak dibenarkan lagi beroperasi.
"Ini yang merisaukan kami sebagai penjaja dan lebih menakutkan jika perintah ini berlanjutan dalam tempoh masa yang lama," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Selasa.

Hari ini, masuk hari ketujuh PKP dikuatkuasa bagi memutuskan rantaian penularan virus COVID-19.
Turut meluahkan rasa gusar, peniaga akuarium, Zul Zainudin, 60 tahun, yang juga Setiausaha Persatuan Penduduk berharap agar tindakan ini tidak berlanjutkan dalam tempoh masa yang lama kerana kami hilang punca pendapatan.

"Kami tahu virus ini amat berbahaya untuk kami tetapi lebih juga risau jika sampai satu tahap kami tiada sumber pendapatan untuk menanggung kehidupan seharian.

"Kami berharap agar semua pihak dapat beri kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 dengan melakukan nasihat-nasihat daripada pihak berwajib," ujarnya.