Penduduk Kampung Joh dan kawasan sekitar menyambut baik rancangan kerajaan Persekutuan membina jambatan baharu menyeberangi Sungai Kelantan dari Kampung Pulai Raya, Machang ke Kampung Belimbing, Tanah Merah.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampong Joh Zakaria Omar, 58, berkata ia berikutan jambatan sedia ada di Kusial, Tanah Merah sentiasa sesak terutama pada musim cuti perayaan.

"Pembinaan jambatan itu nanti diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk meningkatkan taraf ekonomi mereka dalam bidang pertanian kerana jarak yang lebih dekat untuk ke bandar Tanah Merah," katanya di sini, pada Jumaat.

Semalam, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan akan membina sebuah jambatan baharu bernilai RM60 juta merentangi Sungai Kelantan yang akan menghubungkan Machang dan Tanah Merah.

Zakaria berkata apabila jambatan itu siap ia dapat merancakkan lagi proses pembangunan di kawasan itu dan secara tidak langsung memberi impak ekonomi kepada penduduk yang sebahagian besar bergantung kepada hasil pertanian.

Sementara itu, seorang penduduk Yap Kim Chuan, 67, berkata jambatan itu memendekkan jarak perjalanan iaitu daripada 30 kilometer kepada 10 kilometer untuk penduduk kawasan itu ke Tanah Merah.

Bekas tentera Mohamed Yaacob, 67, berkata beliau sangat berterima kasih terhadap kerajaan Persekutuan yang sangat prihatin dengan nasib rakyat di kawasan berkenaan.

"Kami tidak menyangka memperolehi jambatan baharu. Pembinaannya bukan mudah kerana memerlukan perbelanjaan yang besar dan sukar memandangkan lebar sungai berkenaan melebihi 500 meter," katanya.