Susulan kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di sini, rata-rata penduduk yang ditemui mengeluh dan menggesa agar satu langkah drastik dapat diambil bagi mengatasi kejadian banjir kilat yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Seorang pekerja syarikat konsensi pembersihan Mohamad Musa, 56, yang merupakan penduduk Kampung Janging, Chuah, berkata tahun ini sahaja dua kali kejadian banjir kilat telah berlaku iaitu pada bulan lepas dan pagi Isnin, malah beliau turut menyifatkan kejadian Isnin sebagai paling buruk pernah dialaminya.

"Hujan lebat sejak pukul 6.00 pagi Isnin, air mula naik kira-kira pukul 11 pagi apabila air dari Sungai Janging mula melimpah ke kawasan perumahan.

"Air naik setinggi satu meter ke dalam rumah menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan barangan penting seperti perkakas elektrik dan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM4,000.

"Sudah lama masalah banjir ini berlaku tetapi setakat ini masih tiada jalan penyelesaian, sampai bila kami perlu lalui masalah ini dan menanggung kerugian yang besar sedangkan kami bukan orang yang senang," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Seorang lagi mangsa, K.Philip, 29, dari Kampung Tanah Merah yang bekerja sebagai mekanik motosikal berkata, masalah banjir kilat kerap berlaku di kawasan itu apabila hujan lebat, disebabkan masalah sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik.

"Saya kerja dan tinggal di Ladang Tanah Merah ini sudah tidak sanggup lagi menanggung kerugian akibat banjir kilat seperti yang berlaku.

"Harap pihak kerajaan negeri dan pihak bertanggungjawab selesaikan segera masalah ini kerana kami tidak sanggup lagi, selalu terpaksa membeli barangan elektrik dan perabut baharu. Banyak peralatan rosak, selalu rosak selepas ditenggelami air," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon yang mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Jenis Kebangsaan Tamil Tanah Merah, telah menyampaikan sumbangan keperluan makanan seperti beras, tepung, minyak masak dan biskut.

Pada Isnin, 308 penduduk daripada 72 keluarga, terjejas akibat banjir kilat yang melanda lima kampung di Port Dickson serta Seremban, dan daripada jumlah itu 138 ditempatkan di tiga PPS yang disediakan.

-- BERNAMA