Kalangan penduduk di bandar ini yakin Seremban mampu menarik lebih banyak pelaburan sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan apabila diisytiharkan sebagai bandar raya pada 1 Jan 2020.

Pekerja swasta, Nurul Haryani Hasrol, 23, berkata status Seremban yang dinaik taraf menjadi bandar raya dilihat akan merancakkan aktiviti ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada generasi muda.

"Di Seremban terdapat banyak kawasan perindustrian dan kompleks pentadbiran yang menjadi tumpuan anak muda untuk mencari peluang pekerjaan.

"Apabila berstatus bandar raya, saya percaya ia bakal mempengaruhi kedatangan pelabur ke negeri ini khususnya ke Seremban. Pengisytiharan ini tepat pada masanya di saat suasana ekonomi yang tidak menentu serta cabaran peluang pekerjaan," katanya kepada Bernama di sini, pada Ahad.

Pelajar universiti tempatan, Nurul Izzah Azizah Samsuddin, 18, berkata status bandar raya itu perlulah seiring dengan kemajuan teknologi seperti akses internet berkelajuan tinggi dan kemudahan internet percuma di beberapa lokasi tumpuan di Seremban.

"Kita tahu dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 ia melibatkan teknologi dalam hampir semua aspek kehidupan seharian dan ia memerlukan jaringan internet yang meluas," katanya.

Penjawat awam Shahidan Mohd Adnan, 43, berkata Seremban merupakan sebuah bandar satelit yang strategik kerana berhampiran dengan Sepang, Selangor dan Kuala Lumpur.

"Pengisytiharan ini bakal merancakkan lagi pembangunan di negeri ini sekali gus mempengaruhi jumlah pertambahan penduduk dan kerajaan negeri harus bersedia daripada pelbagai aspek termasuk dari segi infrastruktur dalam mendepani perubahan-perubahan ini."

Aishah Nadirah Mohd Alauddin, 33, pula mahu masalah kesesakan lalu lintas dan masalah parkir di bandar ini dapat diselesaikan secara lebih efisien.

"Jadi saya harap infrastruktur lebih baik untuk memperbaiki aliran trafik dan masalah berkaitan di bandar ini," kata penjawat awam itu.

Pada 11 Dis lepas, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Seremban bakal diisytihar sebagai bandar raya pada 1 Jan 2020 dan pengisytiharan rasmi dijangka dilakukan pada 20 Jan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

-- BERNAMA