Penduduk Taman Tanjung Puteri Resort, dekat Pasir Gudang di sini, gempar dengan penemuan tujuh tong berwarna biru berbau seperti cuka, di bawah satu jambatan berdekatan Sungai Sembilang di Taman Tanjung Puteri Resort.

Salah seorang penduduk, Ahmad Roh Ariffin, 50, berkata penduduk kampung mula sangsi dengan kandungan tong tersebut apabila diberitahu pencari ayam hutan.

"Orang kampung menemui tong biru tersebut pada 14 Mac namun tidak mengambil apa-apa tindakan sebelum ini.

"Kami mula rasa sangsi selepas insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim minggu lalu dan parit tempat tong tersebut bersambung dengan Sungai Kim Kim," katanya kepada pemberita hari ini.

Ahmad Roh berkata beliau telah membuat laporan lima hari lepas kepada pihak berkuasa namun tidak ada sebarang tindakan diambil sehingga kini.

"Kami harap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengetahui isi tong tersebut," katanya.

Beliau berkata sungai berhampiran kampung tersebut telah tercemar bertahun-tahun lamanya.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati terdapat tiga buah tong biru di parit dan empat lagi di bawah jambatan berhampiran dengan jarak lebih kurang 200 meter, antara satu sama lain.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Hazmat Jabatan Bomba Dan Penyelamat dilihat mengadakan pemeriksaan dan mengambil sampel di kedua-dua lokasi pembuangan itu kira-kira selama 30 minit.