Penentuan harga siling atau bumbung hanya akan mewujudkan ketidakseimbangan dalam pasaran.

Penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Barjoyai Bardai berkata, situasi itu akan menjadikan kekurangan stok barangan dalam pasaran kerana apa yang diminta oleh pelanggan adalah lebih rendah harganya berbanding apa yang sanggup dikeluarkan pengeluar.

"Temanya negara kita adalah negara pasaran bebas, kita perlu biarkan pasaran menentukannya
tetapi apa yang perlu kita buat adalah mendidik pelaggan dan kumpulan pengguna untuk menjadi pengguna yang berkesan.

"Kita perlu gembleng kuasa pengguna dan kembalikan kuasa pengguna di pasaran kerana harga di pasaran dan kuantiti di pasaran sebenarnya akan ditentukan kedua-dua pengguna dan pengeluar.

"Tetapi selama ini, kita hanya menerima apa sahaja yang dihidangkan oleh pengeluar pada harga yang tertentu, pada kuantiti yang tertentu kita terima dan ini menyebabkan pengguna di Malaysia dalam keadaan sentiasa tertekan kerana mereka menjadi penerima yang rela tetapi tidak rela," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

BACA: Kerajaan usaha tingkat kuasa beli rakyat - Tun Mahathir

BACA: Tanggal 9 Mei 2018, hari rakyat Malaysia lakar sejarah

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mohamad yang memberitahu, usaha kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barang adalah memastikan wujud persaingan dalam pasaran.

Dr Mahathir sebelum ini turut berkata, kerajaan kini sedang berusaha untuk meningkatkan kuasa beli rakyat walaupun menyedari Ringgit berada di bawah paras nilai sepatutnya.

Dalam pada itu jelas Dr Barjoyai, kerajaan perlu memulakan konsep kepenggunaan dan mendidik pengguna untuk menggunakan kuasa pengguna secara berkumpulan.

"Contohnya kita perlu mewujudkan kumpulan WhatsApp yang menentukan harga setiap barang-barang keperluan asas di setiap bandar, pekan dan kawasan dengan membandingkan harga pasaraya, hypermarket dan pasar malam.

"Kemudian kita gunakan ini untuk membuat tindakan secara berkumpulan. Kalau harga ayam tiba-tiba naik satu ringgit untuk sekilo, kita boleh cuti makan ayam, kita makan bahan protein lain, tempe atau tauhu.

"Kemudian kita boleh cuba bincang dengan pengeluar untuk memastikan pengeluar mengeluar barang yang pengguna hendak, bukan yang mereka hendak dan terpaksa jual di pasaran," katanya.

Jelasnya, sistem internet yang sangat berkesan hari ini juga dapat menjadi platform dagangan dan mendidik pengguna untuk membeli melalui internet sekali gus dapat mengurangkan kos.