Tutup

Penerbangan tergendala, acara sukan ditangguh akibat jerebu

Penerbangan tergendala, acara sukan ditangguh akibat jerebu
Beberapa penerbangan yang dijadualkan tiba di LTSAS juga telah membuat lencongan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor dan KLIA. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu berterusan yang melanda negara semakin menjejaskan kehidupan harian rakyat dan hari ini keadaan itu antaranya menyebabkan beberapa penerbangan tergendala selain acara sukan dibatal atau ditangguhkan susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.

Jarak penglihatan terhad akibat jerebu menyebabkan tiga penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, Perak tergendala, mengakibatkan seramai 549 penumbang terkandas di lapangan terbang tersebut.
Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman berkata keadaan itu turut menyebabkan beberapa penerbangan yang dijadualkan tiba di LTSAS juga telah membuat lencongan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Keadaan cuaca yang tidak sihat itu juga telah menyebabkan beberapa acara sukan termasuk Program FitMalaysia Edisi Melaka yang dijadual berlangsung esok di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Bandar Hilir Melaka dibatalkan.
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diambil selepas IPU di Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan sekitar 120 petang tadi dan dijangkakan berada di paras tidak sihat untuk aktiviti luar esok.

Selain itu, penganjur dua acara sukan yang dijadual berlangsung hujung minggu ini turut mengambil keputusan untuk menangguhkan program termasuk BHPetrol, yang menangguhkan larian BHPetrol 2019 yang dijadual pada Ahad.

Turut mengambil keputusan sama ialah Cycling Selangor yang menangguhkan Perlumbaan 03, Selangor Criterium Series yang dijadual pada Sabtu ini.

Sementara itu di Selangor, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dilaporkan akan menjalankan operasi pembenihan awan pada Ahad atau Isnin ini, bergantung pada kesesuaian cuaca bagi mengurangkan kesan jerebu di negeri itu, demikian menurut Ketua Pengarahnya Jailan Simon.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 8 malam kawasan Johan Setia di Klang, Selangor adalah satu-satunya kawasan yang masih mencatatkan IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 251 setakat 8 malam ini.

Dalam pada itu, lapan kawasan baharu melibatkan negeri Melaka, Johor, Pahang dan Sarawak mencatatkan pertukaran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada sederhana kepada tahap tidak sihat iaitu melebihi 101 berbanding bacaan yang dicatatkan jam 10 pagi tadi.

Kawasan itu melibatkan Alor Gajah di Melaka dengan catatan 138; Batu Pahat (122), Kluang (115) dan Larkin (108) di Johor; Temerloh di Pahang (122), serta Sri Aman (103), Samarahan (106) dan Kuching (139) di di Sarawak.

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

-- BERNAMA


Tag: jerebu, penerbangan, penerbangan terkandas, klia, ltsas, acara sukan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.