Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengulangi pendirian pegawai perlawanan profesional tempatan akan ditugaskan mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 yang dijadual berlangsung 2 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata, meskipun prestasi barisan pegawai perlawanan profesional tempatan sering dipertikaikan pihak tertentu, namun laporan penilaian perlawanan oleh penilai pengadil bertauliah membuktikan sebaliknya.

Mengakui masih terdapat elemen perlu dipertingkatkan bagi memuaskan hati pelbagai pihak, Md Dali menegaskan, antara usaha telah dibuat FAM dalam memperkasakan mutu pengadilan adalah keputusan menggunakan enam pengadil FIFA bermula pada saingan suku akhir yang berakhir minggu lepas.

"Pengadil untuk perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pengadil tempatan. Kita tetap akan kekalkan pengadil dari Malaysia dan mereka akan dipilih mengikut prestasi berdasarkan markah dalam laporan penilaian perlawanan.

"Untuk final kita akan perhalusi prestasi pengadil pada aksi separuh akhir nanti... sama seperti kita menilai mereka (pengadil) dalam empat perlawanan suku akhir sebelum memilih siapa akan dipilih untuk aksi separuh akhir.

"Hanya pengadil berkualiti dan mempunyai prestasi terbaik akan diletakkan untuk mengendalikan perlawanan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengadil FAM di Wisma FAM di sini, hari ini.

Saingan separuh akhir Piala Malaysia bermula 13 Oktober ini menyaksikan pertembungan pasukan yang menamatkan saingan Liga Super 2019 di kedudukan empat teratas dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan Selangor sementara Kedah menentang Pahang.

FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini mencipta sejarah apabila buat julung kali melantik pengadil luar dari Jepun, Takuto Okabe yang dibantu dua penolongnya Akane Yagi dan Osamu Nomura untuk mengendalikan final Piala FA 2019, Julai lepas.

Ia sebagai alternatif kepada dakwaan isu mutu pengadilan yang lemah oleh pengadil tempatan termasuk pada final Piala Malaysia 2018 antara Terengganu dan Perak.

Okabe, 38, memperoleh purata antara 8.3 ke 9 daripada keseluruhan 10 markah penilaian dan markah itu sebelum ini turut pernah diperoleh pengadil tempatan ketika mengendalikan perlawanan akhir saingan domestik. - BERNAMA