Pengajaran dan pembelajaran (PnP) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kampus cawangan Pagoh, dekat Muar, ditangguhkan mulai hari ini sehingga Khamis ini selepas seorang kakitangan universiti itu disahkan positif COVID-19.

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM, dalam satu kenyataan di sini, berkata pihak universiti dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah semalam bahawa kakitangan itu didapati positif dan sedang menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru.

Sebagai langkah proaktif, UTHM telah mengenal pasti individu yang mempunyai kontak rapat dengan pertugas berkenaan dan memaklumkan mereka supaya menjalani ujian saringan kesihatan di kampus cawangan Pagoh dan kampus induk Parit Raja, bermula hari ini.

Sebarang aktiviti dan perhimpunan yang melibatkan pelajar dan staf di kedua-dua kampus induk dan kampus cawangan Pagoh ditangguhkan sehingga 31 Mac ini dan sebarang keputusan selanjutnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, menurut universiti berkenan.

Sementara itu, pelaksanaan PnP bagi kampus Parit Raja seperti kuliah akan dilaksanakan secara dalam talian serta-merta sehingga 2 April ini manakala sesi PnP melalui Kuliah Secara Dalam Talian (F.O.C) akan berlangsung dari 22 Mac sehingga 2 April ini.

Bagaimanapun, pelaksanaan pengajaran makmal/bengkel/amali boleh dilaksanakan seperti biasa namun langkah pencegahan perlu diambil sebagaimana pemakluman yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

-- BERNAMA