Tutup

Pengalaman lepas jadikan Malaysia lebih siap sedia tangani COVID-19 - Pakar

Pengalaman lepas jadikan Malaysia lebih siap sedia tangani COVID-19 - Pakar
Antara langkah kesiapsiagaan ialah pengasingan pesakit, mengehadkan kontak kepada staf yang merawat sahaja dan menggunakan peralatan perlindungan diri yang lengkap. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengalaman Malaysia berdepan dengan krisis kesihatan seperti virus Zika, Influenza dan Nipah pada masa lepas membolehkan negara ini sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang penularan penyakit berjangkit.

Ketua dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Perubatan Kecemasan Universiti Malaya Prof Madya Datuk Dr M. Rishya berkata berdasarkan pengalaman itu, dengan beberapa penambahbaikan mengikut panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan COVID-19 di negara ini dapat dikawal dan dikendalikan dengan baik.
"Kita pernah diuji dengan penyakit seperti Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) ataupun Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini, jadi kesiapsiagaan dapat dilakukan dengan cepat melalui garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia dan WHO," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program televisyen 'The Nation', di Wisma Bernama.

Beliau berkata antara langkah kesiapsiagaan yang dilakukan itu ialah pengasingan pesakit, mengehadkan kontak kepada staf yang merawat sahaja dan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap.
"Contoh, sekiranya pesakit mempunyai tanda-tanda positif COVID-19 dan mempunyai sejarah ke China, mereka perlu laporkan diri ke tempat khas di luar jabatan kecemasan... dan jika disahkan positif mereka akan ditempatkan dalam bilik berasingan bagi tujuan pemantauan yang lebih lanjut," katanya.

Pada masa sama Dr Rishya menasihati masyarakat supaya tidak panik kerana jumlah jangkitan COVID-19 di negara ini masih rendah dan mereka perlu menjaga kesihatan diri serta mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

-- BERNAMA