Cadangan kerajaan untuk mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang dengan kos RM6.2 bilion menerusi penerbitan bon merupakan 'penyelesaian menang-menang' berikutan penjimatan bayaran pampasan sekurang-kurangnya RM5.3 bilion kepada operator untuk membekukan kadar tol.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan pada Rabu berkata jumlah penjimatan bayaran itu adalah antara RM5.3 bilion dan RM6.50 bilion.

Pada 22 Jun, Kerajaan Persekutuan telah mengemukakan tawaran bersyarat, tertakluk kepada kelulusan Majlis Jemaah Menteri, untuk mengambil alih empat lebuh raya - Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) - dengan kos RM6.2 bilion.

Guan Eng berkata bayaran penjimatan tersebut ialah RM1.92 bilion - RM2.24 billion bagi LDP, RM1.57 bilion - RM2.04 bilion bagi SPRINT, RM1.08 bilion - RM1.19 bilion bagi KESAS dan RM671 juta-RM1.03 bilion bagi SMART.

Kerajaan menawarkan untuk membayar RM2.47 bilion bagi LDP (konsesi tamat pada 2030), RM1.98 bilion bagi SPRINT (2031-2034), RM1.38 bilion bagi KESAS (selepas lanjutan konsesi lima tahun sehingga 2028 diluluskan oleh kerajaan terdahulu) dan RM369 juta bagi SMART (2042).

Menurut Guan Eng, kerajaan tidak mampu membelanjakan RM18 bilion sebagai kos pampasan bagi lebuh raya untuk tidak mengutip caj tol akibat daripada isu-isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu yang telah menyebabkan kekangan kewangan.

"Cadangan kos pengambilalihan berjumlah RM6.2 bilion akan dibiayai menerusi terbitan bon yang akan dibayar balik sepenuhnya dan dibayar daripada pungutan caj kesesakan. Ini berbanding kos pampasan RM18 bilion yang perlu dibayar sekiranya kutipan tol dihentikan di lebuh raya-lebuh raya tersebut," katanya.

Beliau menegaskan bahawa pengguna lebuh raya juga akan mendapat manfaat daripada membayar caj kesesakan yang dikurangkan secara ketara daripada kadar tol semasa, sekali gus memberi penjimatan sehingga RM180 juta setahun.

"Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30 peratus pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak," katanya.

Guan Eng berkata, faktor lain bagi pengambilalihan lebuh raya itu ialah tempoh konsesi tidak akan dilanjutkan, tetapi akan tamat seperti yang termeterai dalam perjanjian konsesi sedia ada.

"Ketiga, setelah perjanjian tamat, caj kesesakan akan dikurangkan lagi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sahaja, tanpa mengandungi sebarang unsur keuntungan," katanya.

Beliau berkata tawaran bersyarat ini, apabila diluluskan oleh pemegang saham dan pemiutang empat pemegang konsesi lebuh raya tersebut, masih tertakluk kepada kelulusan daripada Majlis Jemaah Menteri.

"Ini secara jelas dinyatakan dalam kenyataan saya pada 22 Jun, 2019 setelah Majlis Jemaah Menteri telah meluluskan secara prinsip pada 27 Feb, 2019, serta kelulusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas tawaran tersebut pada 20 Jun, 2019.

"Saya ingin menyatakan sekali lagi bahawa tawaran-tawaran tersebut yang dibuat selepas melalui ketekunan wajar oleh perunding perbankan profesional adalah sejajar dengan usaha memenuhi komitmen Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol bagi meringankan beban rakyat," kata Guan Eng.

-- BERNAMA