Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pengambilan pekerja asing dilonggarkan untuk tambah penghasilan topeng muka

Pengambilan pekerja asing dilonggarkan untuk tambah penghasilan topeng muka
Kerajaan benarkan pengambilan lebih ramai pekerja asing untuk penghasilan lebih banyak topeng muka dan hidung, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pengambilan lebih ramai pekerja asing untuk penghasilan lebih banyak topeng muka dan hidung bagi mengekang wabak koronavirus (COVID-19).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kelonggaran tersebut diputuskan Kabinet melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagaimanapun, kata beliau, beberapa prosedur akan dilakukan bagi memastikan tidak berlaku kebanjiran pekerja asing di negara ini.

“Topeng muka ini ada masa-masa yang biasa hanya hospital sahaja menggunakan, orang awam adalah tidak biasa, (kecuali) jerebu sahaja guna.
“Sekarang bila kita perlukan lebih banyak, pengeluarannya mesti dinaikkan secara mendadak.

“Jadi, pengilang-pengilang mengatakan kalau boleh mereka ada syif 24 jam, jadi kita perlukan banyak lagi pekerja dan mereka mendapat pelepasan untuk kilang-kilang ada tiga syif dan untuk pengeluaran topeng-topeng muka,” katanya pada sidang media, di sini pada Jumaat.
Sebelum itu, Wan Azizah mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee (HLC), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berhubung Kluster Penyakit Novel Coronavirus (COVID-19) Bilangan 2 Tahun 2020.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, kerajaan turut mengeluarkan arahan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengawal pembelian topeng muka dan hidung.

Katanya, penetapan kouta akan dilakukan bagi mengelakkan pembelian pukal, sekali gus memastikan bekalan dalam negara mencukupi.

“Kita dapati bahawa banyak juga yang bawa troli mengambil ‘face mask’ dan menghantar ke luar negeri, dan kita tidak membenarkan.

“Kita sekarang ini mempunyai kuota untuk dijual supaya negara, rakyat kita mendapat bekalan yang mencukupi,” katanya.



Tag: pengambilan pekerja asing, penghasilan topeng muka, mengekang wabak koronavirus, COVID-19, Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.