KADAR pengangguran dalam kalangan belia yang berumur antara 15 hingga 24 tahun merupakan fenomena biasa yang dihadapi oleh negara membangun dan maju di dunia.

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, golongan ini dikatakan berada dalam proses transisi daripada alam pembelajaran kepada realiti pasaran pekerjaan.

Perdana Menteri berkata, beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah sosial ini.

“Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada pengangguran belia di Malaysia ialah ketidakcukupan kemahiran atau pendidikan, kekurangan pengalaman bekerja dan ketidakpadanan kemahiran,” kata Dr Mahathir dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut memberi penekanan bahawa golongan beliau perlu dituntut memantapkan jati diri dan sikap agar menepati ciri-ciri pekerja yang dicari oleh majikan iaitu yang komited, berdaya tahan, kerja berpasukan dan berkeinginan untuk belajar.

Dr Mahathir turut menggariskan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah ini dengan menganjurkan program penempatan pekerjaan yang merangkumi Karnival Kerjaya, Temuduga Terbuka, Program Kerjasama Antara Agensi, Holiday Placement For Students (HOPS) serta program penempatan golongan khas.

Program-program ini, kata beliau, diadakan dari semasa ke semasa bagi menemukan pencari kerja dengan majikan yang sepadan.

“Bagi tempoh Januari-Mac 2019, seramai 3,890 orang pencari kerja telah berjaya mendapat penempatan” tambah beliau lagi.

Menjawab persoalan Ma’mun Sulaiman (PH-Kalabakan) yang meminta Perdana Menteri berkata, langkah-langkah berkenaan diambil kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran belia dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran Malaysia pada tahun 2018 mencatatkan kadar 3.3 peratus manakala kadar pengangguran belia pada tahun 2018 adalah pada kadar 10.9 peratus.