Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini mengarahkan seorang penganggur yang berdepan dakwaan memukul ibunya sehingga mendatangkan kecederaan, dihantar ke Hospital Permai di Tampoi, Johor Bahru bagi menjalani rawatan psikiatri.

Tertuduh, Muhammad Afzanizam Hairul Azami, 29, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibunya berusia 54 tahun dengan cara menumbuk dengan tangan di bahagian bibir dan bahagian kanan kepala.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tun Razak Bukit Katil sekitar 6.15 petang, 4 November 2019 lalu.


Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan seksyen 326A kanun sama dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Anis Najwa Nazari tidak mencadangkan sebarang jaminan manakala tertuduh juga tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan kes dirujuk ke pakar psikiatri, di Hospital Permai, di Tampoi mengikut seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah serta menetapkan 6 Disember depan bagi tarikh sebutan semula.