Pengarah Kastam Negeri Perak, Datuk Mohd Nasir Said, mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM80,000, sejak dua tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Nasir, 58, didakwa menerima suapan itu daripada dua individu, warga tempatan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan di atas pertuduhan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 melibatkan barangan tidak bercukai, arak.

Mohd. Nasir didakwa melakukan perbuatan itu antara Oktober 2012 dan Julai 2014, di pasar raya Tesco, Taman Midah, Cheras.

Mohd Nasir yang hadir ke mahkamah berbaju kemeja kelabu dan seluar hitam, minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di depan Hakim Rosbiahanin Arifin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


Rosbiahanin membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16 (A)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang tinggi.

Mahkamah menetapkan 23 oktober ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengarah Kastam di Melaka.

Pada 4 September lalu, 12 pegawai kastam ditahan reman berhubung kes sama.

Penahanan kesemua individu itu adalah hasil pemantauan lebih setahun di kawasan zon perdagangan bebas cukai di Pelabuhan Klang.

Dalam operasi dijalankan sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri di utara, SPRM turut merampas sejumlah wang tunai serta barangan seludup dari gudang pelabuhan.

Sementara itu di Shah Alam, tujuh pegawai kanan kastam dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dengkil dan Putrajaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap 98 pertuduhan menerima rasuah wang tunai antara RM500 dan RM130,000 dari 2012 sehingga bulan lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan rasuah itu sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan ke atas barangan tidak bercukai iaitu arak.