Pengasas Budu Cap Ketereh, Ismail Jusoh, 69, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) jam 8.05 malam tadi.

Usahawan yang terkenal sebagai pengeluar budu jenama buah ketereh itu meninggal dunia akibat tekanan darah rendah.

Menurut anak Allahyarham, Mohd Izwan Ismail, arwah ayahnya dimasukkan ke HUSM sejak 8 Disember lalu.

"Keadaannya semakin lemah dan pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan ayah menghidap kanser darah tetapi masih di peringkat awal.

"Allahyarham menjalani rawatan kimoterapi awal Januari lepas, tetapi keadaannya semakin lemah mungkin disebabkan sebelum ini dia pernah menjalani pembedahan jantung," katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ketil jam 7.30 pagi, hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Kamariah Husien, 65, dan lapan anak.

Jenama Budu Cap Ketereh dikenali bukan sahaja seluruh negara bahkan luar Malaysia termasuk Arab Saudi dan Eropah.

Ia diusahakan oleh Allahyarham sejak lebih 40 tahun lepas dan masih utuh serta mampu bertahan di pasaran walaupun pelbagai jenama budu lain menjadi pesaingnya.

Legasi Budu Cap Ketereh akan diteruskan oleh Mohd Izwan dan adik beradiknya memandangkan mereka sudah menceburi bidang ini sedari awal lagi.