Kejam!

Itulah yang dapat digambarkan ke atas perbuatan seorang pengasuh bayi berusia sembilan bulan dan satu setengah tahun.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, semalam pihak polis telah menahan seorang pengasuh wanita di rumahnya di Jalan Permai, Sibu bagi membantu siasatan kes penderaan ke atas dua bayi sehingga menyebabkan koma dan patah gigi.

“Penahanan suspek yang berusia 39 tahun itu susulan daripada laporan polis yang telah dibuat oleh ibu bapa bayi berkenaan yang curiga dengan kesan kecederaan yang dialami anaknya.

“Pihak kami menerima laporan daripada bapa seorang bayi berusia sembilan bulan yang merasa pelik apabila anak lelakinya berada dalam keadaan tidak bermaya sejurus diambil dari rumah suspek.

“Bertindak atas laporan tersebut, pengasuh terbabit ditahan malah telefon bimbitnya juga turut dirampas bagi tujuan siasatan," jelasnya.

Difahamkan, suspek menjalankan kegiatan asuhan kanak-kanak di rumah berkenaan dengan keseluruhannya lima kanak-kanak berusia sembilan bulan hingga tiga tahun diletakkan di bawah jagaannya.

Kata Stanley, pasangan suami isteri yang masing-masing bekerja sebagai guru menghantar anak mereka ke rumah pengasuh pada pukul 5.30 pagi kelmarin sebelum menerima panggilan telefon daripada suspek sekitar tengah hari yang memaklumkan bahawa anak mereka mengalami sesak nafas.

“Pasangan tersebut kemudiannya bergegas membawa bayi mereka ke Unit Kecemasan Hospital Sibu untuk menjalani rawatan lanjut.

“Pakar Neuro Surgical Hospital Sibu mengesahkan mangsa mengalami pendarahan dan kembang pada bahagian dalam otak serta kedua-dua mata termasuk keretakan tulang pada bahagian kiri kepala.

“Ianya, kemungkinan disebabkan oleh hentakan objek keras pada kepala atau badan mangsa yang digoncang dengan kuat,”ujarnya.

Mangsa yang juga merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan masih tidak sedarkan diri dan bergantung dengan bantuan mesin oksigen.

Manakala, kes kedua yang membabitkan suspek dilaporkan sekitar 6.39 petang semalam selepas ibu mangsa mendapati terdapat kesan darah pada bibir anaknya sebelum membawa ke hospital untuk rawatan.

“Ibu mangsa mengambil anaknya selepas menerima panggilan telefon daripada suspek.

“Kanak-kanak berkenaan patah sebatang gigi depan di bahagian atas dan terdapat kesan lebam pada bibir mangsa.

“Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Sibu pagi ini untuk siasatan lanjut dan akan menjalani ujian saringan air kencing,”tambahnya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mendera kanak-kanak.