Keputusan kerajaan membenarkan pengoperasian pelancongan domestik dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) antara lain turut membawa kelegaan buat golongan pengayuh beca di Melaka.

Selepas tiga bulan kelibat mereka 'hilang' dari kawasan-kawasan tumpuan pelancong di sekitar negeri Melaka, kini mereka mula menjalankan rutin biasa dalam normal baharu, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Seorang pengayuh beca, Suhaimi Ismail, 47 tahun, berkata, pada awalnya dia tidak yakin untuk memulakan tugas memandangkan hari ini merupakan hujung minggu pertama selepas kebenaran merentas negeri.

Dia juga menjangkakan orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung dan tidak melakukan aktiviti pelancongan.

Bagaimanapun jangkaannya sedikit meleset apabila dalam tempoh dua jam bermula 3 petang Sabtu (13 Jun), dia sudah membawa tiga pelanggan mengelilingi sekitar Bandaraya Melaka menaiki becanya.



Lebih menarik, menyedari senario pandemik COVID-19 yang menjadi kerisauan ramai pihak, dia bukan sahaja menyediakan cecair pembasmi tangan bagi kegunaan pelanggan, malah menyediakan bekas berisi air bersih dan sabun pencuci tangan yang telah diubah suai dan diletakkan di dalam beca.

“Kita sediakan untuk orang nak cuci tangan, apa-apa hal senang. Orang lain ada yang buat basuh tangan biasa, macam saya, saya gunakan air, dengan sabun, apa semua siap. Sebab itu beca Melaka ni apabila kata boleh operasi balik, baru kita buat perubahan sendiri,” ujarnya.

Seorang lagi pengayuh beca A. Aruldas, 54 tahun, berkongsi cerita, sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, kira-kira 300 pengayuh beca di negeri itu yang rata-ratanya bergantung sumber pendapatan dengan mengayuh beca, hilang mata pencarian.

Jelasnya, dia sememangnya teruja untuk kembali ke lapangan bersama rakan-rakan, demi meneruskan kelangsungan hidup.

Dia yang telah mengayuh beca sejak lima tahun lalu berkata, meskipun jumlah kedatangan pelancong tidak serancak sebelum pelaksanaan PKP, namun dia tidak berputus asa dan berusaha menjaga kebersihan becanya demi menarik minat pelanggan.

“Memang kita gembira sangat (dibenarlan beroperasi). Sudah tiga bulan tak bawa beca, sekarang (kes COVID-19) dah turun memang kita gembira. Terima kasih pada kerajaan kita.

“Sekarang ini kedatangan pelancong agak kurang, tapi perlahan-lahan pelancong akan datang juga. Kita berusahalah, dengan beca pun kita pastikan dalam keadaan bagus. Kita harap pelancong boleh sokong kitalah,” katanya.



Sementara itu, bagi Khairul Tay Mohd Harry Tay, 31 tahun, dia akan kekal menitikberatkan faktor keselamatan selain meningkatkan kekerapan mencuci tempat duduk becanya lebih-lebih lagi selepas menurunkan penumpang.

“Kita kena ikut SOP diberi pihak pelancongan... kita kena bawa cecair pembasmi kuman, pakai penutup mulut dan hidung. Satu lagi kena catat nama dan nombor telefon mereka. Memang kena sediakanlah. Cuma alat pengesan suhu badan tu tak dapat saya sediakan sebab nak beli pun modal perlu lebih RM100, kan,” luahnya.

Tambah mereka, jika dahulu, pelancong dari luar negara menjadi antara penyumbang sumber pendapatan mereka, kini golongan itu berharap rakyat tempatan dapat membantu membangunkan semula ekonomi pengayuh beca dengan menggunakan perkhidmatan mereka.