Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada Sabtu mengumumkan pengecualian sewa untuk satu bulan kepada 9,185 unit rumah PPR di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menerusi kenyataan media, beliau memberitahu tindakan ini diambil untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"PPR di bawah pengurusan KPKT yang terlibat ialah PPR Sentul Murni, Rumah Transit Bukit Jalil, PPR Lembah Subang 1, PPR Lembah Subang 2, PPR Kg Hassan Hulu Selangor, PPR Ladang Siliau Port Dickson, PPR Tok Suboh, PPR Amanjaya, PPR Kota Setar, PPR Sinar Intan 3, PPR Gua Musang, PPR Kota Bahru," katanya.

Pada masa sama, beliau juga menyarankan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggunakan budi bicara masing-masing untuk memberi pengecualian sewa premis PBT kepada peniaga kecil yang terjejas pendapatan akibat terpaksa menutup perniagaan ekoran pelaksanaan PKP.

KPKT menerusi Kerajaan Tempatan juga akan berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memantau dan memastikan bahawa pusat jagaan warga emas swasta mempunyai bekalan bahan keperluan yang mencukupi sepanjang tempoh PKP.