Kenyataan kerajaan bahawa ia mungkin membatalkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diberikan kepada pemaju hartanah jika mereka gagal menurunkan harga, merupakan berita gembira untuk rakyat Malaysia, terutama golongan muda yang mahu membeli hartanah pertama mereka.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata pengecualian SST merupakan langkah positif, dengan syarat penguatkuasaan dijalankan dengan tegas.

"Kita sudah menyaksikan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), namun harga tidak berubah sepanjang tempoh itu, sebaliknya meningkat selepas pelaksanaan SST. Ini sangat pelik," katanya kepada Bernama.

Pada persidangan pemaju-pemaju hartanah di sini pada Isnin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan telah mengambil langkah positif dengan memberikan pengecualian SST, dan kini menunggu penggiat hartanah untuk menurunkan harga rumah.

BACA: Tarik balik pengecualian SST kalau harga rumah tak turun - Guan Eng

Yee berkata kedudukan lebihan hartanah sekarang perlu ditangani, dan jika harga turun, ia mungkin mengurangkan margin pemaju.

"Bagaimanapun, kami menganggap pemaju hartanah mampu menampung kekurangan margin ini memandangkan mereka perlu menghabiskan unit sedia ada sebelum unit baharu (selepas sifar SST) berkuat kuasa," katanya sambil menambah bahawa kedua-dua penggiat pembinaan dan hartanah kini menikmati margin bersih antara 10 dan 15 peratus.

Pengenalan semula SST, atau SST 2.0, awal bulan ini dijangka dapat menurunkan harga barangan secara amnya walaupun terdapat kenaikan harga untuk beberapa barangan.

Bulan lepas, Lim berkata SST tidak akan membebankan pengguna kerana tiada kenaikan harga yang ketara.

Cukai perkhidmatan enam peratus dan cukai jualan 10 peratus hanya dikenakan ke atas produk dan perkhidmatan tertentu.

Sementara itu, penganalisis lain berkata pasaran hartanah Malaysia telah mencapai paras terendah dan perlu bangkit.

"Kami menjangkakan pembeli hartanah akan kembali bermula dari tempoh sifar cukai selama tiga bulan, dan pengumuman ini akan mewujudkan sentimen peningkatan ke atas sektor ini," katanya.

Beliau berharap dapat melihat lebih banyak habuan untuk sektor itu dalam Belanjawan 2019, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 2 Nov.

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, sebaliknya, mengalu-alukan penarikan balik pengecualian SST jika harga rumah kekal tinggi.

"Bagaimanapun, perkara lain seperti harga tanah juga harus ditangani. Kami menggesa kerajaan mengkaji dasarnya dan memberi penjelasan secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

-- BERNAMA