Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan pengembara yang pulang dari luar negara dan diarahkan kuarantin wajib 14 hari agar sentiasa memakai gelang tangan sepanjang tempoh pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mana-mana individu yang menanggalkan gelang tangan berkenaan sebelum tamat tempoh pemerhatian akan diambil tindakan.

"Gelang tangan akan dipakaikan kepada pengembara ini sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing. Gelang tangan ini perlu dipakai sepanjang tempoh pengawasan dan pemerhatian di rumah.

"Sekiranya gelang tangan tersebut ditanggalkan sebelum pemerhatian tamat, individu tersebut akan dikenakan tindakan. Gelang ini akan ditanggalkan oleh pegawai yang diberi kuasa selepas tempoh pengawasan dan pemerhatian," katanya dalam sidang media harian di sini pada Sabtu.

Selain itu, mereka juga perlu mematuhi arahan lain termasuk diberikan Surat arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah, pengawasan dan pemerhatian di rumah, borang Home Assessment Tool dan memastikan pengembara memuat turun aplikasi MySejahtera.

Arahan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah ini adalah arahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) di mana sekiranya individu berkenaan didapati melanggar arahan, mereka boleh disabit dengan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta 342.

Pihak KKM juga mengingatkan orang awam yang telah diletakkan di bawah arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah untuk sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh KKM.

"Pertama, kekal berada di dalam rumah sepanjang tempoh yang ditetapkan. Kedua, mengasingkan diri daripada ahli keluarga yang lain bagi mengelakkan ahli keluarga terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19.

"Ketiga, sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan diri yang baik seperti membasuh tangan dengan air atau sabun, atau menggunakan hand sanitizer. Keempat, pastikan anda tidak berkongsi peralatan peribadi dengan ahli keluarga yang lain," tambahnya lagi.

Manakala, ahli keluarga bagi individu yang menjalankan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah ini juga memainkan peranan yang penting dengan sentiasa mengingatkan individu berkenaan mematuhi arahan yang telah ditetapkan.