Penjejak (trekker) berpengalaman dari dalam dan luar negara diminta secara sukarela membantu dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) pengembara warga Malaysia, Dennis Lee Thian Poh, yang hilang di sirkit kembara Annapurna, Nepal, pada 5 April lepas.

Jurucakap keluarganya berkata selama beberapa hari, pasukan SAR bebas yang dibantu oleh pihak berkuasa Nepal telah menjalankan pencarian di kawasan itu tetapi belum mendapat apa-apa petunjuk tentang lokasi mangsa.

"Pasukan itu sekarang menumpukan usaha mencari di kawasan antara Khobra dan Bayali.

"Oleh kerana hari ini ialah hari kesembilan sejak Dennis hilang dan cuaca di kawasan pencarian dijangka bertambah buruk dalam masa beberapa hari akan datang dengan kemungkinan salji turun, kami sangat-sangat memerlukan seberapa banyak pasukan sokongan untuk memperluaskan pencarian kerana tempoh beberapa hari akan datang adalah kritikal," katanya ketika dihubungi, di sini pada Isnin.

Beliau berkata oleh kerana masa adalah penting, keluarga sangat bimbang dan mahu Dennis ditemui secepat mungkin.

Penjejak berpengalaman yang ingin membantu usaha mencari dan menyelamat, dapat menghubungi pasukan Penyelamat di talian 977-9856025679.