Pengerusi Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan sekali lagi ditahan selepas dipercayai menggunakan ijazah palsu untuk tujuan menipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata Sanjeevan ditahan selepas seorang pengarah syarikat membuat laporan setelah merasakan terpedaya dengan kelayakan akademik Sanjeevan.

"Mangsa yang terpedaya dengan kelayakan akademik suspek sebelum ini menawarkan jawatan perunding bagi tujuan membawa masuk perniagaan dalam syarikat mangsa,

"Suspek (Sanjeevan) mendakwa dia memiliki dua ijazah daripada dua universiti di United Kingdom," katanya sambil menambah suspek akan dituduh pada Khamis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 kanun yang sama.

22 Jun lalu, Sanjeevan dan pemandunya, seorang warga India, ditahan dekat Plaza Tol Nilai mengikut Seksyen 506, Seksyen 384 dan 385 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan ugutan jenayah serta peras ugut terhadap pengusaha mesin judi haram.

Kemudian, pada 11 Ogos lalu, beliau sekali lagi ditahan kerana didakwa memeras ugut seorang pemilik pusat hiburan di Pusat Dagangan Triang di Pahang, Julai tahun 2013.