Meskipun kes jangkitan semakin berkurangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus menjalankan aktiviti pengesanan jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah bagi memastikan tiada kes sporadik dalam komuniti atau berlaku pendedahan terhadap kes-kes baharu yang masih wujud.

"Selain kes pengesanan aktif dalam kalangan kontak rapat pesakit positif kita juga melakukan persampelan secara rawak termasuk di kawasan lokaliti yang disyaki membabitkan kumpulan yang terdedah dengan risiko jangkitan dan juga pesakit sebelum menjalani pembedahan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut kata Dr Noor Hisham, pengesanan jangkitan turut dilakukan ke atas pesakit paru-paru walaupun mereka tidak perlu dibedah.

Setakat ini katanya, KKM mengesan 13 kes positif atau 0.1 peratus dalam kalangan pesakit sebelum menjalani pembedahan.

Angka 0.1 peratus itu katanya, adalah dianggap sangat rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan persampelan itu.

Beliau turut memberitahu yang KKM akan terus melakukan persampelan secara rawak dari semasa ke semasa bagi mengkaji tindak balas imuniti dalam komuniti.