SEBARANG usaha yang ingin diambil bagi mengabungkan universiti-universiti yang ada dalam negara kita agak sukar dilakukan kerana setiap universiti yang ada dalam negara kita memiliki keunikan masing-masing. Terdapat 20 buah universiti awam yang berada dalam negara kita pada masa kini. Pada masa yang sama juga terdapat berpuluh-puluh lagi universiti swasta dan kolej universiti dalam negara. Antara universiti awam yang dalam negara kita ialah Universiti Malaya (UM), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor, Universiti Sains Malaysia (USM), Gelugor, Pulau Pinang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak Universiti Sains Islam Malaysia, (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau, Perlis, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kuantan, Pahang, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, Terengganu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi,Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa, Kelantan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, Terengganu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor, dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

BACA: Lembaga Pengarah UMT akan bincang cadangan penggabungan dengan UniSZA

Setiap universiti-universiti yang telah ditubuhkan ini memiliki matlamat penubuhan yang berbeza serta memiliki visi dan misi mereka masing-masing. Sekiranya universiti-universiti ini digabung, ia sudah pasti akan mengganggu matlamat penubuhan universiti-universiti serta mengganggu segala visi dan misi mereka dalam memberi perkhidmatan mereka di peringkat pengajian tinggi dalam negara kita. Setiap universiti juga menyediakan bidang pengajian yang sedikit berbeza antara satu sama lain bagi memenuhi segala matlamat, visi dan misi universiti masing-masing. Sekiranya universiti-universiti ini digabungkan, bagaimana mereka hendak menentukan bidang pengajian yang hendak ditawarkan kelak kepada para pelajar?

BACA: KPM jamin tiada pensyarah diberhentikan kerja akibat gabung UMT dan UniSZA

Perlu juga diketahui, setiap universiti yang ada ini memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada universiti yang sudah mencapai ranking sebagai universiti terbaik bukan sahaja dalam negara kita malah di peringkat antarabangsa. Ada juga universiti yang masih belum mencapai ranking terbaik lagi bukan sahaja di peringkat antarabangsa malah di peringkat kebangsaan pun. Sekiranya universiti-universiti ini digabungkan, adakah ia akan memberi kesan terhadap ranking sedia ada yang telah diberikan terhadap universiti-universiti ini dan bagaimana pula dengan proses ranking yang hendak dilakukan pada masa akan datang?

BACA: Cadangan gabungan manfaatkan kedua-dua universiti - NC UniSZA

Tedapat juga isu kemudahan asas atau fasiliti yang disediakan oleh universiti-universiti ini. Bagi universiti yang sudah lama bertapak dalam negara kita, mereka sudah pasti memiliki banyak kemudahan asas atau fasiliti yang baik serta sempurna. Namun bagi universiti-universiti yang baru bertapak dalam negara kita, selalunya kemudahan asas ataupun fasiliti baru hendak disediakan. Sekiranya kedua-dua universiti ini bergabung, bagaimana kita hendak pastikan segala kemudahan asas atau fasiliti ini disediakan atau diberi sama rata dengan semua universiti? Terdapat juga isu dana kewangan yang dimiliki oleh sesebuah universiti. Setiap universiti memiliki dana kewangan masing-masing. Universiti yang sudah lama ditubuhkan sudah pasti memiliki dana kewangan terkumpul yang banyak berbanding dengan universiti yang baru bertapak dalam pasaran. Persoalannya, adakah mereka sanggup berkongsi segala dana kewangan mereka dengan universiti yang bakal digabungkan dengan mereka kelak?

BACA: Gabung UMT, UniSZA perlu kajian menyeluruh - MB Terengganu

Persoalan paling penting ialah pemberian peruntukan kewangan kepada setiap universiti pada setiap tahun. Bagaimana pihak kerajaan hendak saluran peruntukan kewangan kepada setiap universiti ini setelah mereka digabungkan kelak? Adakah universiti-universiti yang digabungkan ini perlu berkongsi segala peruntukan kewangan yang disalurkan kepada mereka? Jika jumlah peruntukan kewangan yang diberikan dikekalkan seperti yang telah diberikan kepada setiap universiti pada masa kini ataupun ditambah, ia mungkin tidak membawa kesan terhadap universiti yang terlibat, namun jika jumlah peruntukan kewangan diberikan dikurangkan, ia sudah pasti akan membawa implikasi terhadap proses pentadbiran, kajian dan penyelidikan dan pembelajaran di dalam universiti.

BACA: Mahasiswa bantah gabung UMT, UniSZA

Oleh yang demikian, adalah penting supaya pihak kerajaan mengkaji sebarang cadangan bagi mengabungkan universiti-universiti dalam negara kita dengan lebih teliti dengan mengambilkira realiti keadaan semua universiti yang ada dalam negara kita. Pihak kerajaan perlu melakukan proses perbincangan dengan semua pihak yang terlibat di dalam universiti itu seperti pihak kakitangan universiti, tenaga pengajar akademik, serta yang paling penting para pelajar dan bukannya sekadar berbincang dengan pihak pengurusan universiti sahaja.


* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.