Tan Sri Muhammad Ibrahim sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), umum Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Peletakan jawatan beliau juga telah diterima Kerajaan, kata Perdana Menteri.

Namun pengganti Muhammad belum diputuskan Kabinet, tambahnya.

Pengumuman Dr Mahathir mengesahkan beberapa laporan yang menyatakan Muhammad tawar diri untuk berundur daripada jawatan nombor satu bank pusat itu.

Keputusan untuk letak jawatan itu dibuat selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempersoalkan keputusan BNM membeli tanah daripada kerajaan bernilai RM2.1 bilion.

Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir, Muhammad tidak memberikan sebab peletakan jawatan beliau.

Perdana Menteri membuat pengumuman tersebut dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra.