Aplikasi WhatsApp alternatif kepada pengguna untuk melaporkan sebarang aduan berkaitan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) khususnya membabitkan kenaikan harga barangan.

Medium tersebut merupakan tambah baik lapan saluran sedia ada antaranya menerusi e-mel, talian bebas tol dan laman sosial Facebook.

Jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail, pengguna boleh menyalurkan aduan dengan memberikan maklumat lengkap melalui aplikasi WhatsApp di nombor 019-279 4317 sebelum tindakan susulan oleh penguat kuasa KPDNHEP diambil dalam tempoh 24 jam.

Katanya, sejak kaedah itu dilancarkan pada 1 September lalu, sebanyak 642 laporan direkodkan dalam tempoh tiga hari dengan aduan paling banyak membabitkan kenaikan harga barangan di restoran dan kad tambah nilai prabayar.

Menurut Saifuddin, sejak pelaksanaan SST 1 September lalu, pihaknya mendapati pengurangan harga barangan yang dilaksanakan peniaga tidak begitu ketara iaitu sekitar 0.2 hingga 12.9 peratus..

Ini berikutan terdapat faktor lain yang menjadi kekangan terhadap penurunan harga barangan secara mendadak termasuk kos pengangkutan dan pembayaran gaji kepada pekerja.

Sementara itu, mengulas tindakan Datuk Seri Najib Razak membuat aduan di laman sosial Twitter mengenai sebuah kedai pau dikenakan SST, Saifuddin berkata beliau menghargai kesedaran bekas Perdana Menteri itu terhadap realiti kehidupan dihadapi rakyat.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berlapang dada terhadap setiap teguran yang dilakukan terhadap pelaksanaan SST sebelum penambahbaikan boleh dilakukan seperti yang dibuat sebelum ini.